comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Larangan bawa telefon bimbit perlu diteruskan – Tun M

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Calon dan pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepakat berpandangan bahawa larangan membawa telefon bimbit ketika mengundi yang baharu diperkenalkan pada pilihan raya kali ini merupakan langkah baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi antara yang memuji langkah berkenaan berpendapat ia dapat mengelak pengundi daripada ’membocorkan’ kertas undian mereka kepada pihak tertentu.

“Kalau bawa telefon bimbit masuk, boleh ambil dan hantar kepada pihak tertentu. Tunjuk pangkah parti, jadi kena bagi duit,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Kedah.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi pusat mengundi seluruh negara mendapati pengundi akur dan tidak mempunyai masalah mengikut arahan larangan penggunaan telefon bimbit.

Nadia Ibrahim, 38, yang mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak berpandangan larangan membawa telefon bimbit semasa proses pengundian tidak menyusahkan malah mempercepat proses tersebut.

Halijah Jusoh, 53, berkata beliau tidak risau dengan larangan itu walaupun pada mulanya tidak menyangka perlu berbuat demikian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh, di sini berkata telefon bimbitnya turut ‘dijaga’ petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dipulangkan semula.

Jurutera, Ahmad Faizal Baharin, 37, yang ditemui di pusat mengundi SK Sungai Talam, Pahang pula berkata ketetapan itu amat penting memandangkan trend memuat naik gambar dan berkongsi kegiatan seharian di media sosial amat popular dalam kalangan masyarakat kini.

“Ini amat penting kerana kita nak pastikan setiap undi itu kekal rahsia,” katanya.

Nurul Qaireena Umairah Mohd Hasim, 18, pula berkata sebagai pengundi muda beliau memahami signifikasi larangan itu dan menghormati peraturan yang telah ditetapkan. – BERNAMA

Loading...
Terkini