comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Majikan digesa beri pekerja pelepasan cuti am

Foto hiasan.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Majikan sektor swasta digesa supaya mempertimbangkan pelepasan cuti am pada 18 dan 19 November ini bagi memberi peluang kepada golongan pekerja untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pertimbangan itu juga bagi memenuhi tujuan dan hasrat pemberian cuti umum oleh Kerajaan Persekutuan.

“Cuti umum ini telah diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] iaitu cuti am yang diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. Menurut peruntukan ini, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja mereka sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 November 2022 sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain.

Sekiranya tiada penggantian, ujarnya, pekerja yang bekerja pada tarikh-tarikh berkenaan layak menerima kadar gaji bagi cuti am.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu ini bagi menggalakkan rakyat yang layak mengundi untuk keluar mengundi sempena PRU-15.

Bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, maka Ahad (20 November) ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.

Seramai 20,905,366 pengundi biasa dijangka keluar mengundi di 222 Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena PRU-15 serta Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah pada Sabtu ini. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini