comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Mas Ermieyati pertahan Parlimen Masjid Tanah

Mas Ermieyati ketika ditemui media selepas mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan menewaskan tiga calon lain malam ini. – FOTO: NSTP

MASJID TANAH: Penyandang Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN) mempertahankan kerusi itu selepas menewaskan tiga calon lain.

Beliau menewaskan Abdul Hakim Abdul Wahid daripada BN, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).

Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi, Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507).

Dengan undi majoriti 4,411, berbanding Abdul Hakim, beliau menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga.

Keputusan undi diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Saifudin Abdul Karim pada jam 10.45 malam tadi di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini.

Mas Ermieyati berkata, beliau bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada pengundi serta jentera pilihan raya PN kerana membantu kemenangannya.

“Masjid Tanah adalah kubu kuat BN dan pada PRU-13 dan PRU-14, saya menang atas tiket BN tetapi kejayaan hari ini tidak saya bina dengan kerja sehari dua.

“Alhamdulillah kerja kuat saya membantu rakyat di sini sejak sembilan tahun lalu dinilai oleh mereka (rakyat).

“Bukan mudah untuk mencatatkan kemenangan ini, segalanya adalah berasaskan perkhidmatan saya tanpa mengira agama, bangsa dan warna bendera anggota komuniti,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan pengundi muda di saluran empat dan lima, beliau berkata, sebelum ini sudah mendekati anak muda dalam tempoh yang lama sebelum Parlimen dibubarkan.

“Sehubungan itu saya berjanji meneruskan tugas dengan sebaik mungkin demi rakyat,” katanya.

Loading...
Terkini