comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: MyKad Rosak, Hilang Dijamin Siap Segera

RUSLIN (tengah) menyerahkan kad pengenalan yang baharu, Wan Nab Ismail ketika hadir sempena program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN di Kampung Laut 3. (Foto: NSTP)

TUMPAT: Mangsa banjir yang kad pengenalannya, MyKad rosak atau hilang akibat bencana itu akan diberi dokumen gantian segera bagi melancarkan urusan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, urusan penukaran dokumen itu juga dijamin siap dalam tempoh setengah jam.

Katanya, selain untuk keperluan mengundi, gantian segera MyKad juga untuk memudahkan urusan menerima bantuan.

“Seluruh pejabat cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan bergerak di semua kawasan berlaku banjir bersama agensi berkaitan untuk pastikan kehilangan dokumen itu dilakukan gantian segera.

“Tiada sebarang caj dikenakan (untuk gantian) kerana ia disebabkan musibah dan kita mahu meringankan beban yang dihadapi mangsa,” katanya pada sidang media selepas penyerahan MyKad dan sijil kelahiran wanita warga emas, Wan Nab Ismail, 83, di Kampung Laut 3, di sini.

Hadir sama, Pengarah JPN negeri, Asrehan Ab Razak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Azman Mat Zain.

Mengulas pemberian dokumen Wan Nab, Ruslin berkata, Wan Nab yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disebabkan orang tuanya tidak mendaftar kelahiran.

Bagaimanapun, katanya kes seumpama itu dianggap terpencil dan bilangannya semakin berkurangan terutama selepas penganjuran program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang menggalakkan kakitangan JPN turun padang mendekati masyarakat.

“Selain itu, kerjasama JPN dengan JKM juga penting, termasuk pemimpin setempat yang memberi laporan berkaitan isu timbul,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini