comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pasukan ‘task force’ ditubuh, tangani penyebaran berita palsu

Pasukan ‘task force’ akan memantau penyebaran berita palsu sepanjang PRU-15. Foto : NSTP

KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) menubuhkan pasukan ‘task force’ berkuatkuasa serta merta bermula hari ini bagi menangani penyebaran sebarang berita palsu sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan berkenaan terdiri daripada lebih 100 anggota Polis Diraja (PDRM) dan juga kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang berperanan memantau semua pemberitaan palsu yang tular di media sosial berhubung calon PRU-15.

Katanya, pihak PDRM sudah membuat permohonan kepadanya untuk mendapatkan peranti yang boleh digunakan dalam pasukan ‘task force’ dan ia sudahpun dipersetujui serta diluluskan.

“Apabila adanya kemudahan peranti ini, ia secara tidak langsung dapat membantu pasukan ‘task force’ memantau seberapa banyak berita palsu yang tersebar dan apabila dikenalpasti mereka boleh memadamkan berita berkenaan dengan segera.

“Tidak perlu tunggu laporan untuk siasat kerana tidak sesuai untuk menyiasat disebabkan perlu menunggu sehingga dua bulan dan pilihan raya pun sudah berlalu.

“Kalau calon menjadi mangsa dan teraniaya, maka pasukan task force yang ditubuhkan ini dibenarkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini, hari ini.

Annuar berkata, dalam masa sama, beliau juga meminta masyarakat yang mengenal pasti hantaran berita palsu yang tersebar di dalam media sosial yang membawa kesan negatif supaya melaporkannya kepada MCMC.

Loading...
Terkini