comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pegawai Penjara Marang kudung kaki kiri tetap tunaikan tanggungjawab

Bahari Ibrahim, walaupun kudung kaki kiri dan terpaksa bertongkat tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)ketika ditemui di Pusat Pembuangan Undi (PPU) Sekolah Kebangsaan Rusila. – Foto GHAZALI KORI

MARANG: Walaupun kudung kaki kiri dan terpaksa bertongkat, seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bahari Ibrahim, 43, antara pengundi yang hadir ke Pusat Pembuangan Undi (PPU) Sekolah Kebangsaan Rusila di sini hari ini untuk mengundi.

Dia yang bekerja sebagai Pegawai Penjara di Penjara Marang berkata, kekurangan yang ada pada dirinya itu bukan alasan untuknya mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia

“Kaki kiri saya ini terpaksa dipotong hingga paras lutut akibat kencing manis pada 2013 dan sejak itu, memang saya bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

“Ini kali kedua saya datang mengundi dengan bertongkat dan bagi saya, kekurangan ini tidak boleh dijadualkan alasan saya untuk tidak keluar mengundi.

“Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan sebab itu selagi terdaya, saya akan cuba laksanakan untuk pilih pemimpin yang akan membela nasib rakyat,” katanya yang berasal dari Melaka.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Zarawi Sulong.

Pada PRU14, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endut dan Zarawi Sulong (PKR) denganmajoriti 21,954 undi.

Ketika itu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi manakala Mohamad Nor (31,795 undi) dan Zarawi (5,318 undi). – Berita Harian

Loading...
Terkini