comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pengantin terus ke pusat mengundi selepas nikah

Amiera Nabila Mohd Shahrin, 28, menunjukkan dakwat yang dicalit di jari telunjuk kirinya kerana jarinya sudah berinai, bergambar bersama suaminya, Mohammad Ashraf Almas, 29, dan bapanya, Mohd Shahrin Mohd Ali, 56, serta adik beradik dan sepupu. – Foto: NSTP

JOHOR BHARU: “Selesai akad nikah kami terus ke pusat mengundi tunaikan tanggungjawab kepada negara,” kata pengantin baru Amiera Nabila Mohd Shahrin, 28.

Amiera Nabila sebaik majlis akad nikah bersama pasangannya, Mohammad Ashraf Almas, 29, selesai dijalankan di rumahnya di Jalan Berkat, Kampung Melayu Majidee di sini jam 10 pagi tadi, dia terus ke Pusat Mengundi di Dewan Kampung Melayu di Kampung Melayu Majidee di sini.

Katanya, turut menunaikan undi bapanya, Mohd Shahrin Mohd Ali, 56, serta adik beradik dan sepupunya.

“Majlis pernikahannya berjalan lancar, walaupun terpaksa mencari dewan untuk majlis persandingan pada saat akhir selepas lokasi asal di Dewan Kampung Melayu Majidee dijadikan pusat mengundi.

“Tarikh pernikahan dan persandingan kami memang sudah ditetapkan pada hari ini persandingan di dewan ini, tetapi ayah kata dewan ini jadi tempat mengundi.

“Kami terpaksa mencari dewan lain, Alhamdulillah diharapkan majlis persandingan akan berlangsung dengan lancar pada malam ini di Eco Palladium,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Dewan Kampung Melayu di sini, hari ini.

Wanita itu yang bekerja sebagai pereka grafik dan pemasaran di sebuah syarikat pembinaan swasta berkongsi, ini kali ketiga dia mengundi, namun menganggap ia adalah pengalaman mengundi yang paling manis dan tidak akan dilupakan.

“Alhamdulillah, keluarga saya semua dapat datang, tetapi saya sedih ramai kawan-kawan yang jauh dari Johor Bahru tidak dapat menghadiri majlis saya kerana mahu mengundi,” katanya.

Pada masa sama, Amiera Nabila dan suaminya yang juga ahli perniagaan warga Afghanistan berharap sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk hasil daripada pilihan raya kali ini.

“Kami baharu membina keluarga, maka kami harapkan kerajaan baharu nanti dapat membantu dari segi menangani kos sara hidup rakyat selain memberi fokus kepada anak muda dan pasangan baharu berkahwin,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini