comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pengundi atas pagar didominasi orang muda penentu mandat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) dijangka bersaing sengit dalam perlumbaan menambat hati pengundi menjelang hari penentuan mandat daripada rakyat, Sabtu ini.

Berdasarkan hasil kajian landskap persepsi rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE), PH memperoleh 30.7 peratus sokongan pengundi di Malaysia, diikuti rapat oleh BN dengan 27.9 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) pula 12.7 peratus dan pengundi atas pagar (28.7 peratus).

Kajian itu dijalankan dari 21 hingga 28 Oktober lalu, iaitu selepas Parlimen dibubarkan dan sebelum penamaan calon, membabitkan seramai 2,423 responden di 165 kerusi Parlimen di Semenanjung yang ditanya parti mana akan diundi bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.

Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata dapatan terbabit bagaimanapun disifatkan tidak konklusif, sekali gus tidak menggambarkan PH berada dalam zon selamat kerana peratusan pengundi atas pagar masih tinggi.

Beliau berkata, pengundi muda mendominasi kumpulan pengundi atas pagar, dengan 32 peratus daripadanya akan membuat keputusan pada hari pengundian.

“Mereka belum membuat keputusan lagi dan dijangka hanya memutuskan untuk mengundi siapa dalam tempoh 24 jam.

“Walaupun PH mendahului, pengundi atas pagar akhirnya akan menentukan parti mana yang berupaya mendapat mandat rakyat, Sabtu ini.

“Daripada 28.7 peratus pengundi atas pagar, 69 peratus akan mengundi pada PRU15 dan 70 peratus teruja dengan PRU15,” katanya, di sini.

Mohammad Redzuan berkata, hasil kajian juga mendapati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin paling diyakini sebagai Perdana Menteri dengan 31.5 peratus sokongan, diikuti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (24.9 peratus) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (20.3 peratus).

Beliau berkata, berdasarkan dapatan berkaitan isu nasional, sebanyak 43.36 peratus responden bimbang mengenai kenaikan harga barang, ketidakstabilan politik negara (18.7 peratus) dan penyelewengan serta rasuah (10.75 peratus).

“Apa yang kita lihat, gabungan parti yang boleh menumpukan aspek kenaikan harga barang dan kaedah penyelesaiannya boleh mempengaruhi sokongan terhadap mereka.

“Selain itu, perkembangan dalam parti di mana perkara yang melambangkan pergolakan dalaman, akan turut memberi impak besar dalam pola pengundian kelak.

“Dalam aspek keterujaan untuk keluar mengundi, sebanyak 79 peratus responden menyatakan akan menjalankan tanggungjawab itu nanti,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini