comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pesakit COVID-19 lega dapat mengundi

Seorang pengundi mencelup dakwat pada jari di pusat mengundi bagi kawasan Parlimen Titiwangsa di SK Taman Maluri. – Foto: NSTP

Kuala Lumpur: Pengundi yang dijangkiti COVID-19 lega berpeluang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman itu, seorang pengundi bagi kerusi Parlimen Titiwangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia lega dapat mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin yang berbaki sehari lagi akibat jangkitan COVID-19.

“Saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membenarkan pesakit COVID-19 mengundi.

“Sebenarnya pada mulanya saya risau tidak dapat mengundi kerana dijangkiti COVID-19, tetapi lega SPR mengumumkan garis panduan untuk pesakit COVID-19 macam saya keluar menunaikan tanggungjawab ini.

“Walaupun gejala yang saya alami ini hanya ringan, saya tetap mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak risiko jangkitan,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, di sini, pagi tadi.

Ditanya mengenai proses mengundi bagi pesakit COVID-19, pengundi berusia lingkungan 50-an itu berkata, dia perlu mengisytiharkan dirinya masih dalam kuarantin dengan menunjukkan bukti MySejahtera kepada petugas di pintu masuk pusat mengundi sebelum diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas.

“Petugas KKM itu memberi pelekat khas berwarna biru yang dilekatkan pada bahu menandakan saya seorang pengundi COVID-19 sebelum saya dibawa ke saluran dan diberi keutamaan mengundi.

“Sepanjang tempoh itu, saya perlu sentiasa memakai pelitup muka dan cecair sanitasi terutama sebelum dan selepas mencelup dakwat untuk mengundi,” katanya.

Pengundi COVID-19 itu antara 5,544 individu yang mengundi di SK Taman Maluri hari ini.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak mengumumkan, individu yang positif Covid-19 perlu berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata,semua pengundi termasuk mereka yang disahkan COVID-19 perlu mematuhi langkah am ditetapkan KKM bagi memastikan proses pengundian lancar dan selamat.

Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Abdul Samad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Loading...
Terkini