comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Polis beri perhatian 6 kesalahan lazim

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengadakan tinjauan di Pusat Penamaan Calon Lembah Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenalpasti enam kesalahan utama yang berkemungkinan berlaku dalam proses berkempen dan pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata antara kesalahan itu adalah mengoyak poster dan papan tanda parti dan calon yang bertanding, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan serta bergaduh.

“Kesalahan lain yang menjadi perhatian pihak polis adalah melakukan demonstrasi, kesalahan menyebarkan berita palsu melalui medium sosial dan internet serta melakukan tohmahan.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mengesan enam kesalahan berkenaan yang lazimnya berlaku semasa musim Pilihan Raya,” katanya selepas melawat Pusat Penamaan Calon Parlimen Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini.

Beliau berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan (KK), PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan yang berkait secara langsung dengan Pilihan Raya.

“Tindakan mengikut akta lain yang boleh diambil adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

Loading...
Terkini