comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Rakyat Johor bagus! – Kamarul Zaman

Kamarul Zaman (kiri) ketika meninjau proses pengundian di SK Nong Chik. FOTO Izz Laily Hussein

JOHOR BAHRU: Polis Johor memuji rakyat Johor apabila menyifatkan proses hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada hari ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rakyat Johior lebih faham akan tanggungjawab masing-masing yang perlu keluar mengundi tanpa membuat sebarang kekecohan yang tidak sepatutnya.

“Proses mengundi berjalan sangat lancar dan insiden tidak diingini dilaporkan berlaku. Rakyat Johor ‘steady’, semua memainkan peranan mereka sebagai rakyat Johor yang ‘sporting’ dan faham akan tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dan Jurucakap Media PRU-15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som.

Beliau berkata, walaupun berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan pusat mengundi pada sebelah pagi, ia hanya disebabkan hujan dan ramai pengundi keluar mengundi menggunakan kenderaan.

“Di Johor memang berlaku hujan, ada juga satu jalan terjejas di Batu Pahat akibat banjir kilat, tetapi sekejap saja, air sudah surut dan kemudian laluan dibuka semula.

“Saya lihat prestasi orang keluar mengundi juga sangat baik, ramai yang keluar pada waktu pagi,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, polis menjalankan pemantauan di 1,024 pusat mengundi di Johor dan secara keseluruhan, semua dalam keadaan selamat dan terkawal.

Katanya, pemantauan trafik di dua pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) juga lancar dan kesesakan lalu lintas yang berlaku adalah kesesakan biasa, dipercayai kerana ramai pengguna sudah merancang perjalanan dengan baik. – Harian Metro

Loading...
Terkini