comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Reezal Merican tewas kepada Dr Siti Mastura di Kepala Batas

FOTO: NSTP

KEPALA BATAS: Penguasaan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kepala Batas di bawah Barisan Nasional (BN) sejak 1974 berakhir apabila calon penyandangnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867.

Siti Mastura memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 28,604 undi manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi yang turut mengenepikan saingan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Muhammad Danial Abd Majeed memperoleh 14,214 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Hamidi Abu Hassan dengan 747 undi. Reezal Merican bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU-14, bahkan lebih buruk lagi BN Pulau Pinang kehilangan kesemua kerusi menjadi kubu kuat UMNO, termasuk Parlimen Tasek Gelugor.

Sementara itu, Siti Mastura berkata, kemenangannya bukan untuk dibangga-banggakan sebaliknya peluang membuka buku baharu bagi menambah baik bumi Kepala Batas. Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pengundi memberi kepercayaan kepada dirinya, khususnya orang muda yang mengangkat dirinya menjadi wakil rakyat.

“Saya percaya kemenangan saya ini didorong sokongan pengundi berusia 18 tahun yang mana saya fikir mereka mahukan perubahan dan menolak agenda politik kotor. “Oleh itu, saya akan buat terbaik dan memastikan kebajikan rakyat di parlimen ini dapat diteruskan,” katanya. Pada PRU-14, Reezal Merican memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 22,459 undi menewaskan calon PKR, Zaidi Zakaria yang mendapat 17,723 undi dan Siti Mastura, sebanyak 12,120 undi.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini