comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Rosol kekalkan tradisi jadi pengundi pertama

Rosol menjadi individu pertama yang beratur di Sekolah Kebangsaan Bukit Diman untuk membuang undi. – Foto: NSTP

Kuala Berang: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid menjadi individu pertama membuang undi di Pusat Pengundian Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Diman, di sini hari ini.

Rosol yang ditemani isteri, Toh Puan Halipah Ahmad, 59, tiba di perkarangan sekolah pada 7.50 pagi.

Beliau selesai membuang undi kira-kira jam 8.04 pagi, sementara isterinya pada jam 8.06 pagi, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung hari ini.

Rosol yang ditemui selesai membuang undi berkata, beliau berpuas hati kerana berjaya mengekalkan tradisi sebagai pengundi terawal sejak arwah bapanya masih hidup.

“Saya bersyukur sejak lima penggal yang lalu, sekolah ini menyaksikan saya sebagai orang pertama yang datang menunaikan tanggungjawab membuang undi bersama arwah bapa.

“Kini saya tetap meneruskan apa yang ditinggalkan oleh arwah bersama isteri,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi parlimen itu sempat beramah mesra dengan pengundi sebelum memasuki pusat mengundi.

Sementara itu, Rosol berkata, 12 adik beradiknya juga membuang undi di pusat pengundian yang sama dan enam anaknya di SK Telaga. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini