comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Semangat Mat Kilau, pensyarah pakai busana Melayu ke pusat mengundi

Mohd Nazri Amdin, pensyarah yang bertugas di Kimanis Petroleum Training Centre berbusana Melayu termasuk tanjak dan samping selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kelatuan Parlimen Kimanis. – Foto: NSTP

KIMANIS: Membawa semangat filem ‘Mat Kilau’, seorang pensyarah menarik tumpuan ramai apabila datang ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kelatuan dengan memakai busana Melayu termasuk kain samping untuk mengundi, pagi ini.

Mohd Nazri Amdin, 38, pensyarah yang bertugas di Kimanis Petroleum Training Centre, di sini, berkata beliau menganggap tanggungjawab memilih pemimpin menerusi proses pengundian adalah satu perjuangan rakyat.

“Sebenarnya, mengundi ini adalah satu perjuangan dan juga perjuangan rakyat untuk mengangkat pemimpin.

Jadi, saya pakai (busana Melayu) ini untuk membawa satu identiti kemelayuan atau Bumiputera Sabah ke pusat mengundi ini.

“Tambahan pula, aura filem Mat Kilau juga masih terasa.

Jadi, untuk lima tahun sekali, kita cuba abadikan satu kenangan yang boleh kita ingat sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, anak jati Kampung Melagui Kelatuan itu turut berpendapat proses pengundian bagi PRU-15 kali ini adalah PRU yang teratur, khususnya dari segi pengurusan.

“Proses pengundian kali ini saya rasa antara yang teratur dari kali pertama saya mengundi dulu. Sangat tersusun, tenang dan teratur,” katanya.

Sejumlah 1,667,061 pengundi berdaftar di Sabah layak mengundi pada PRU-15.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi baharu yang berusia 18 hingga 20 tahun pula adalah seramai 131,458 orang.

Bagi kerusi Parlimen Kimanis, seramai 40,763 pengundi berdaftar dengan 19 pusat pengundian dan 253 jumlah saluran mengundi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini