comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Sempat mengundi sebelum berangkat tunai umrah

Rani bergambar bersama calon PAS Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, selepas mengundi di SK Bukit Diman, Kuala Berang, hari ini.

KUALA BERANG: Walaupun hanya tinggal beberapa jam sebelum berangkat untuk menunaikan umrah, seorang pengundi tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

A Rani Mamat, 57, dari Kampung Felcra Bukit Kapah, di sini, berkata dia bergegas mengundi sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Katanya, dia akan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu dan menyertai jemaah lain untuk berangkat ke Tanah Suci selepas Asar.

“Penting untuk saya memilih pemimpin yang layak bagi memimpin negara, jadi tidak ada masalah untuk datang membuang undi sebelum ke lapangan terbang.

“Saya bergerak dari rumah seawal jam 6.30 pagi dan menjadi orang kedua selepas calon yang bertanding kawasan itu, Datuk Rosol Wahid membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Diman pada jam 8.05 pagi tadi,” katanya.

Beliau yang ditemani anak lelakinya berkata, perancangan untuk menunaikan umrah sudah lama dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Katanya, sedikit waktu yang ada dia manfaatkan sebaik mungkin untuk ke pusat pengundian dan biasanya awal pagi saluran tidak begitu sibuk dan memudahkannya untuk mengundi.

Beliau berkata, tarikh penerbangan ke Tanah Suci hari ini tidak menjadi halangan buatnya untuk ‘ponteng’ mengundi, namun kekangan waktu mendorongnya datang awal ke pusat pengundian.

“Dari muda sampai sekarang sudah beberapa kali PRU, namun setiap kali proses pengundian berjalan saya tidak pernah ‘ponteng’ oleh demikian saya kuatkan diri untuk hadir ke pusat pengundian ini.

“Dah lama tertangguh dan kini hasrat saya akhirnya tertunai tapi tetap akan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan kita semua,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini