comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRU-15: SPR mahu calon, parti patuh arahan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menasihatkan semua pihak supaya memastikan proses penamaan calon sempena hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah esok berjalan lancar.

Pada masa sama, beliau menyeru penyokong bagi calon dan parti politik bertanding yang menyertai perarakan untuk mematuhi arahan terkini daripada pihak polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Harapan kita bukan setakat SPR tetapi seluruh rakyat Malaysia agar proses penamaan calon berjalan dengan lancar pada semua parti, penyokong dan pencadang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pusat penamaan calon (PPC) bagi kerusi Parlimen P125 Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini petang tadi.

Ditanya kerja-kerja persiapan akhir menjelang hari penamaan calon di seluruh negara, Datuk Ikmalrudin berkata, secara amnya, ia berjalan lancar dan giat dilaksanakan oleh petugas.

“Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya sedang rancak membuat persiapan. Itu maklumat yang kita terima,” katanya.

SPR menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, manakala hari pengundian ditetapkan pada 19 November dan hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.

Sebelum ini, Datuk Ikmalrudin dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara termasuk menerusi apa jua jenis kenderaan bagi tujuan dakyah politik tidak dibenarkan pada hari penamaan calon.

Katanya, ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, beliau berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi pada hari penamaan calon kepada RO di 222 PPC yang berkenaan.

“Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka. Pada Hari Penamaan Calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC,” katanya.

Loading...
Terkini