comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: SPR perlu siasat dakwaan 800,000 data bocor – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA: Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat isu kebocoran 800,000 data yang didakwa diperoleh daripada sistem MySPR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai badan bebas SPR perlu tampil menjelaskan dakwaan itu.

“Sebagai badan bebas, SPR perlu siasat perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR SPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Menerusi ciapan di Twitter oleh pengguna Acailjawe, penjual mendakwa bahawa pangkalan data itu juga termasuk banyak butiran lain seperti nama penuh, nombor ID, alamat e-mel, tarikh lahir, kata laluan dan alamat penuh.

Selain itu, ia juga mengandungi lebih daripada 1.6 juta imej eKYC dengan jumlah saiz fail 67GB.

Penjual itu juga mendakwa bahawa mereka memiliki daftar pemilih penuh dengan butiran 22 juta pemilih walaupun penyenaraian itu tertumpu semata-mata pada data eKYC sistem dalam talian MySPR.

Laman web itu memaklumkan walaupun ciapan Acaiijiwe menjadi tular semalam, penyenaraian itu berlaku pada bulan April berdasarkan lawatan mereka sendiri ke pasaran pangkalan data.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga meminta SPR menjalankan siasatan dakwaan pengundi pos luar negara yang masih belum menerima kertas undi walaupun tarikh mengundi hanya berbaki tujuh hari lagi.

Menerusi ciapan yang tular di Twitter, ada pengundi di United Kingdom mendakwa masih belum menerima kertas undi kerana nombor pengesanan masih menunjukkan kiriman masih berada di Malaysia.

Loading...
Terkini