comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Syed Saddiq gembira ramai orang muda keluar mengundi

Syed Saddiq (dua dari kiri) mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru. – NSTP/MARY VICTORIA DASS

JOHOR BAHRU: Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gembira kerana ramai orang muda, terutama pengundi kali pertama bersemangat keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

Sehubungan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar, berkata telahan banyak pihak yang membuat andaian bahawa golongan itu tidak berminat untuk keluar mengundi, adalah salah sama sekali.

“Sejak pagi tadi, terbukti pengundi kali pertama selain golongan muda antara pengundi awal tiba di pusat mengundi. Di Parlimen Muar juga, ramai orang muda termasuk pengundi kali pertama hadir di pusat pengundian.

“Cuaca buruk tidak menghalang mereka menunggu seawal jam 7 pagi walaupun proses pengundian bermula 8 pagi. Di Muar, ada golongan muda sanggup basah kuyup, menunjukkan kesungguhan mereka untuk mengundi bersama keluarga mahupun rakan.

“Saya amat bangga dan terharu dengan golongan muda, kehadiran mereka bakal menentukan masa depan negara bagi lima tahun,” katanya turut gembira kerana peratusan keluar mengundi mencecah 57 peratus di Johor setakat jam 2 petang tadi yang disifatkannya perkara baik.

Walaupun peratusan itu lebih rendah berbanding 62 peratus pada 2018 setakat jam sama, Syed Saddiq berkata, pertambahan bilangan pengundi seramai 2.4 juta pada PRU15 menggambarkan sebenarnya lebih ramai keluar mengundi pada kali ini.

“Ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera, Johor Bahru bersama ahli keluarga, saya disapa golongan muda yang menggambarkan keseronokan mengundi. Saya harap lebih ramai akan keluar mengundi sehingga jam 6 petang ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pengundi yang merakam video proses pengundian mereka dan memuat naik di TikTok, khuatir ia menunjukkan ketidaktelusan serta dibimbangi membabitkan unsur pembelian undi.

“Ketika saya mengundi, petugas memberi arahan untuk meninggalkan telefon dan ia prosedur yang betul. Diharap pihak berkaitan menyiasat individu yang gagal mematuhi peraturan berkenaan,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini