comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tak serumit disangka, kata pengundi kali pertama

Pengundi kali pertama, dari kiri, Nik Aisyah Fathihah Nik Mohd Fadzil, 18, Luvindraan A/L Anbarasu, 22, dan Leeau Zi Xuan, 22 menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas membuang undi bagi Pilihanraya Umum ke-15 bagi parlimen P099 Ampang di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Dato Ahmad Razali, Ampang.

Kuala Lumpur: Proses mengundi tidaklah serumit yang disangka, malah ada yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk selesai, demikian pengalaman yang dikongsi pengundi kali pertama.

Di Bera, Pahang pasangan adik-beradik, Nurul Nabila Rosli, 25, dan Mohd Haikal Rosli, 21, begitu teruja kerana berpeluang untuk mengundi buat kali pertama bagi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dengan hadir awal di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, Bera.

Nurul Nabila mengakui sebagai pengundi baharu, beliau agak gementar untuk mengundi, namun dengan bantuan serta penerangan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya di situ membantu melancarkan proses di pusat mengundi itu.

“Alhamdulillah proses cepat dan tak tunggu lama sangat dalam 10 minit. Perjalanan proses undi pun lancar, petugas (SPR) juga banyak bantu,” kata Nurul Nabila.

Pengundi muda kawasan Parlimen Batu, Sasha Cherry (kiri) bersama adiknya Sarah Cherry. 24 yang merupakan pengundi kali pertama selepas selesai mengundi pada Pilihanraya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa. 

Turut berpuas hati dengan proses pengundian ialah Farah Nadiah Abdul Kudus, 27, yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit daripada mula beratur hingga selesai mengundi bagi kerusi Parlimen Jerlun di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Min, Padang Sera, Kedah.

“Proses pengundian yang diuruskan SPR ini sangat teratur dan sistematik, dengan petugas SPR membantu melancarkan lagi perjalanan mengundi,” katanya.

Muhammad Karimie Imran, 31, yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota di sini, lega kerana dapat selesai mengundi hanya dalam tempoh 10 minit walaupun terpaksa beratur panjang.

“Saya datang dengan isteri dan anak-anak, sementara saya mengundi di sini, isteri dan anak-anak saya di dalam kereta, lega mereka tak perlu tunggu begitu lama, saya pun tak jangka cepat habis,” katanya berkongsi pengalaman mengundi buat kali pertama.- Harian Metro

Loading...
Terkini