comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRU-15: Tambun, Larut dan Bagan Datuk lokasi panas PRU di Perak – Polis

IPOH: Polis Perak menumpukan penugasan pegawai dan anggotanya di tiga kawasan panas yang dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu Tambun, Larut, dan Bagan Datuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata tiga kawasan berkenaan dikenal pasti berdasarkan kepada calon dan parti yang bertanding.

Beliau berkata, pertambahan kekuatan anggota akan dibuat berdasarkan kepada kajian dan penilaian oleh Ketua Polis Daerah jika berlaku situasi tidak aman di lokasi panas berkenaan.

“Kita akan berterusan memantau dan memastikan bahawa polis yang akan mendominasi khususnya ketika penamaan calon bagi menjamin keselamatan dan keselesaan.

“Ada anggota yang sentiasa ‘stand-by’ (bersiapsiaga) di tiga kawasan itu,” katanya kepada pemberita ketika sidang media berkaitan persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena menghadapi PRU-15 di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Bagi kerusi Parlimen Tambun, ia akan ditandingi oleh Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang penyandang yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pertembungan di Larut pula bakal menyaksikan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku penyandang kerusi itu bertanding semula yang mana pada PRU sebelum ini, Hamzah menang atas tiket UMNO (Barisan Nasional-BN) sebelum bertindak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 2019.

Manakala bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk menyaksikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN dan Bekas Timbalan Persada Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kedudukannya.

Mohd Yusri berkata, seramai 7,963 anggota dan pegawai polis Perak terbabit sepanjang penugasan PRU-15 berlangsung iaitu 3,494 ketika hari penamaan calon, tempoh berkempen (3,021), undi awal (1,105), dan pada hari mengundi (7,133).

Katanya, polis turut akan dibantu segi kekuatan sumber manusia dari agensi lain iaitu Sukarelawan Simpanan Polis Polis Diraja Malaysia (SSPPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan seramai 1,794 pegawai dan anggota.

Katanya lagi, polis akan menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bermula hanya pada 5 November ini iaitu sewaktu hari penamaan calon bagi memastikan ceramah atau kempen calon atau parti politik yang berlangsung, dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, antara perkara yang dilarang sewaktu hari penamaan calon adalah penggunaan semua jenis alat muzik atau alat pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa jua cara termasuk apa jua jenis kenderaan.

“Jangan ada provokasi berlebihan terhadap isu sensitif seperti agama, perkauman, serta, institusi diraja; serta memastikan tiada insiden yang melanggar undang-undang seperti perbuatan khianat merosakkan poster atau bendera parti lawan yang bolh mencetus suasana tidak harmoni ketika berkempen,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini