comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Terengganu pertimbang cuti peristiwa 20 November

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar (dua kanan) bersama penduduk di Kampung Langgar hari ini.

KUALA BERANG: Kerajaan Terengganu mempertimbangkan cuti peristiwa pada 20 November, sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat EXCO negeri, Rabu ini.

Tidak memberi sebarang jaminan, beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat dan meneliti perkara itu terlebih dahulu memandangkan Terengganu sudah mengisytiharkan beberapa cuti peristiwa pada tahun ini.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini, insya-Allah. Hari ini baru Sabtu, ada masa lagi bertenang, sabar. Saya tak kata ada cuti, tetapi kita akan tengok apa langkah terbaik.

“Tahun ini pun, (Terengganu) sebenarnya ada beberapa cuti peristiwa. Apa pun kita akan pertimbang,” katanya kepada pemberita pada Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat Bersama Menteri Besar Terengganu di Dataran Kedai Kampung Langgar, di sini hari ini.

Hadir sama, Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Ahmad Samsuri berkata, keputusan mengenai cuti itu mempunyai kaedah dan proses yang perlu diambil kira, bukan boleh diputuskan pada bila-bila masa.

“Cuti di negeri berbeza-beza. Pengundian pada Sabtu, cuti Jumaat sebab nak balik mengundi, tetapi kita Jumaat memang sudah cuti. Jadi kita akan tengok macam mana nak buat. Insya-Allah kita akan maklumkan dalam waktu terdekat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini