comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tetap mengundi walaupun diusung menaiki ambulans

Mohamad Rosli terlantar sakit sejak 2019 hadir mengundi di pusat mengundi SK Seksyen 17 biarpun terpaksa diusung menaiki ambulans. FOTO: Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Terlantar sakit sejak 2019 bukan halangan buat seorang pesara guru menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi biarpun terpaksa diusung menaiki ambulans.

Mohamad Rosli Mohamad Dani, 57 yang terlantar sakit akibat pendarahan otak pada Julai 2019 hadir ke pusat mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17 di sini, dengan ditemani isterinya, Rosnah Mahmud, 54.

Rosnah berkata, suaminya tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar sejak berusia 21 tahun.

Justeru katanya, walaupun sedikit sukar, namun dia akur dengan permintaan suaminya yang masih bersemangat untukmengundi hari ini.

“Suami saya pernah menjadi ketua tempat mengundi semasa menjadi guru di Seksyen 25 di sini. Saya membawa beliau mengundi sebagai tanggungjawab kepada negara.

“Satu undi adalah penting untuk menentukan kemenangan pemimpin yang kita pilih,” katanya tadi.

Terdahulu Mohamad Rosli dan Rosnah dibawa ke pusat berkenaan menggunakan ambulans milik Yayasan Amal Kota Raja dari kediaman mereka di Taman Sri Muda di sini.

Sementara itu, ibu kepada tiga anak itu memaklumkan, suaminya terpaksa bersara awal akibat faktor kesihatan.

Katanya, selepas menjalani pembedahan pada 22 Julai 2019, suaminya tidak sedarkan diri lebih seminggu dan lumpuh tubuh sebelah kiri. Proses pengundian dilaksanakan Rosnah bagi pihak suaminya.

Seperti pengundi lain, jari telunjuk Mohd Rosli turut ditanda dengan dakwat oleh petugas yang ditugaskan menjalankan pengundian secara tertutup. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini