comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tetap mengundi walaupun sarat hamil 8 bulan

Nor Ain tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Parlimen Hulu Langat di pusat mengundi SK Semenyih. – Foto: NSTP

SEMENYIH: Keadaan diri yang hamil lapan bulan bukan alasan untuk ibu dua anak, Nor Ain Kahar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, Nor Ain, 30, yang bekerja sebagai penyelia memanfaatkan hari cuti umum hari ini, untuk hadir ke pusat mengundi Parlimen Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih di sini.

Nor Ain yang hamil anak ketiga dan menetap di Bandar Teknologi Kajang tidak datang berseorangan sebaliknya ditemani adik tirinya, Mohd Aiman Hanafi, 22.

“Ini kali pertama saya berkesempatan untuk mengundi dalam PRU jadi agak teruja.”Seawal jam 7.30 pagi tadi, saya sudah bersiap untuk ke pusat mengundi dan proses berjalan dengan lancar.

“Syukur kerana sempat membuang undi sebelum bersalin dan tak sabar rasanya hendak tunggu keputusan PRU-15,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya matanya pada 25 Disember ini.

Parlimen Hulu Langat menyaksikan saingan enam penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan dan calon Bebas.

Pada PRU-14, Parlimen Hulu Langat dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH) dengan 49,004 undi menewaskan calon BN Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan Pas Dr Che Rosli Che Mat (15,663 undi). – HARIAN METRO

Loading...
Terkini