comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tiada kesesakan di pintu masuk negara menjelang hari mengundi

Foto : NSTP

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia tidak menjangkakan berlaku kesesakan luar biasa di pintu masuk negara di Johor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutamanya bermula antara 16 November hingga 19 November ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, selain bilangan kemasukan orang ke Malaysia yang dijangka tidak meningkat secara mendadak, faktor lain seperti pelbagai penambahbaikan yang sudah dilakukan bagi melancarkan operasi dan memudahkan rakyat Malaysia pulang mengundi.

“Ini pandangan saya, saya tidak jangka akan berlaku peningkatan yang begitu ramai seperti semasa perayaan Deepavali kerana perayaan itu membabitkan warga asing yang turut masuk ke sini.

“Tetapi, untuk tujuan mengundi ini, hanya membabitkan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka yang bekerja di Singapura melakukan perjalanan harian iaitu 200,000 orang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kira-kira 100,000 orang di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kami sudah mengambil tindakan persediaan sejak beberapa minggu yang lalu dan kami sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menguruskan rakyat Malaysia untuk pulang mengundi yang mana dijangka akan bermula 16 November ini sehingga 19 November ini,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir.Khairul Dzaimee berkata, di BSI, penambahbaikan dilakukan di semua laluan masuk bas, kereta dan motosikal.

“Bagi laluan bas, sebanyak 20 ‘autogate’ atau e-gate yang berusia 10 tahun akan digantikan dengan yang baharu yang mana daripada jumlah itu, 14 sudah siap dipasang dan enam lagi dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada 15 November ini.

“Bagi laluan masuk kereta dari Singapura ke Malaysia, tambah baik kaunter sedang diambil yang mana antaranya kita menggabungkan dua kaunter yang sebelum ini diasingkan untuk pemeriksaan Imigresen dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PLUS.

“Hasil penggabungan ini, kecekapan trafik dapat ditingkatkan yang mana kecepatan masa sebanyak antara 10 hingga 11 saat dapat dijimatkan bagi sebuah kenderaan.

“Manakala, bagi laluan motosikal atau zon M-Bike, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan dalam keadaan yang baik,” katanya.

Selain itu, Khairul Dzaimee berkata, bagi persediaan di KSAB, 24 kaunter beroperasi dengan baik dan pihaknya turut mewujudkan 12 kaunter kontra yang akan digunakan jika berlaku kesesakan di luar dugaan.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat satu lagi pengangkutan bagi kemudahan masuk ke Malaysia dari Singapura yang cekap dan berkesan, namun mungkin kurang diminati.

“Pengguna boleh menggunakan kereta api dari Woodlands ke BSI yang mana urusan pasport dibuat di Woodlands. Mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan teruskan perjalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa persoalan atau kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa bakal mengalami kesukaran untuk pulang ke Malaysia untuk mengundi kerana mungkin berdepan dengan kesesakan di pintu-pintu masuk utama.

Perkara itu turut dijelaskan memandangkan dakwaan sesetengah pihak itu turut dikaitkan dengan ketidakcekapan Jabatan Imigresen Malaysia mengendalikan perkara berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan semua pegawai Imigresen akan ditugaskan secara total pada tempoh PRU15 ini.

“Mereka (pegawai Imigresen) akan bertugas penuh membabitkan 1,200 pegawai di BSI dan 670 di KSAB.

“Mereka juga tidak menghadapi masalah untuk mengundi kerana mendapat kebenaran untuk melakukan undi pos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala jika ada yang mengundi pada 19 November nanti, ada penggiliran tugas akan dibuat,” jelasnya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini