comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tidak dibenar raih undi lagi

Petugas SPR dan anggota polis pengiring melakukan pemeriksaan akhir peti undi, semalam.

KUALA LUMPUR: Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bermula 5 November tamat jam 11.59 malam tadi.

Ini bermakna selepas tempoh itu, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan langsung terutamanya pada hari pengundian hari ini di 222 kerusi Parlimen, dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15), serta Dun Bugaya, Sabah.

SPR dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan agensi itu akan menguatkuasakan subseksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.

Akta itu juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik serta melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya semasa hari pengundian.

PRU kali ini mencatat sejarah apabila seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam rekod PRU negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap keadaan harmoni serta lancar semasa berkempen tanpa sebarang isu besar melibatkan provokasi atau keganasan melampau ketika ini, berterusan sehingga hari mengundi pada Sabtu.

Sementara itu, setakat Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan sebanyak 2,148 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU-15.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata 326 permit dikeluarkan di Sabah, Pahang (300), Sarawak (293), Perak (221), Johor (208), Kedah (180), Kelantan (147), Selangor (112), Negeri Sembilan (103), Melaka (94), Terengganu (89), Pulau Pinang (40), Perlis (23) dan Kuala Lumpur (12).

Selain itu, polis turut membuka 20 kertas siasatan iaitu masing-masing empat di Selangor dan Kuala Lumpur, Sarawak (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu antaranya melibatkan kesalahan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon.

PRU kali ini menyaksikan jumlah pengundi semakin ramai iaitu seramai 21.1 juta pemilih berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU-14. – BERNAMA

Loading...
Terkini