comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tiga generasi keluar mengundi bersama

Siti Zahrah bersama antara ahli keluarga yang datang mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Molek di sini hari ini.- Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: “Kami tiga generasi berasa seronok apabila keluar mengundi bersama-sama pada pagi hari ini dan ia suatu kenangan tidak dapat dilupakan,” kata seorang nenek dari Taman Desa Perwira, Siti Zahrah Mahpok, 71.

Siti Zahrah berkata, dia bersama lima orang anak, dua orang cucu serta dua menantu tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab dengan mengundi pada hari ini di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Molek di sini.

Ibu tunggal itu berkata, malah mereka bangun seawal jam 5 pagi bagi memastikan kelancaran untuk keluar mengundi.

Menurutnya, seorang daripada dua cucu yang turut mengundi termasuk orang kurang upaya (OKU) Autism, Mohd Nur Hakimi Shaifulnizam, 24 selain adiknya, Mohd Nur Hafizi, 20.

Katanya, dia bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik untuk keluar mengundi lebih 10 kali setakat ini demi menentukan masa depan bangsa dan negara.

“Kami semua datang ke sini dengan menaiki empat kereta dan semua berjalan dengan lancar walaupun hujan lebat.

“Saya berharap pengundi lain tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi bersama keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, anaknya, Siti Ainur Md Othman, 43, berkata mereka sekeluarga juga menggunakan cuti kelepasan am sempena PRU-15 dengan sebaik mungkin dengan mengadakan perjumpaan dengan ahli keluarga.

“Malam tadi kami makan malam, membaca yassin serta mendoakan kemenangan calon yang kami sokong.

“Arwah bapa kami adalah anggota tentera, sebagai anak kami pasti memiliki semangat patriotik yang tinggi serta setiap PRU kali tidak ketinggalan untuk keluar mengundi.

“Kami juga sempat merakam gambar kenangan bersama salah seorang calon Parlimen Pasir Gudang yang kebetulan tiba mengundi,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Noor Azleen Ambros bersama isterinya, Nur Liyana Mohd Shariffjuga mengundi di saluran enam di pusat mengundi berkenaan pada 9.30 pagi hari ini.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar walaupun hujan lebat sejak pagi tadi.

“Saya menjangka lebih ramai akan keluar mengundi pada waktu petang hari ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini