comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Warga emas bersemangat keluar mengundi

Mohd Jelani dibantu petugas ketika hadir mengundi di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin Hutan Kampung. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Biarpun kudratnya tidak segagah orang muda namun ia bukan penghalang buat seorang lelaki warga emas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, dekat sini, hari ini.

Dalam usia yang hampir mencecah satu abad, warga emas terbabit Mohd Jelani Mat Akhir, 97, yang berasal dari Kampung Masjid tetap bersemangat untuk hadir mengundi ditemani isteri tercinta Siti Aishah Ahmad, 81.

Walaupun menyedari dirinya sukar bergerak kerana kudung kaki kanan namun Mohd Jelani dilihat gigih serta tetap mahu meneruskan langkah dengan berjalan menggunakan tongkat untuk ke dewan.

Dia yang ditemani cucu lelaki, Mohd Akmal Hakim Mohd Rosli, 30, gigih mengatur langkah walaupun perlahan bermula dari pintu pagar utama menuju ke dewan sebelum diminta menunggu kerusi roda dibawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Akmal berkata, datuknya itu sentiasa ingat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali menjelang pilihan raya walaupun tahu keadaan kakinya yang tidak sempurna seperti insan lain.

“Datuk kehilangan kaki selepas dia yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta kira-kira 15 tahun lalu ketika menuju ke masjid.

“Namun, kecacatan dialami datuk bukan menjadi penghalang untuk dia keluar mengundi setiap kali pilihan raya diadakan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sejak awal pagi datuknya itu sudah bertanya sama ada dia boleh membawa dan menemaninya ke pusat mengundi selain dilihat cukup teruja untuk menunaikan tanggungjawabnya itu.

“Melihatkan kesungguhannya membuatkan saya juga bersemangat dan selepas selesai proses membuang undi di tempat lain saya terus pulang untuk membawa datuk dan nenek ke lokasi mereka mengundi.

“Saya lihat datuk tersenyum puas serta gembira selepas dia selesai melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi hari ini,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini