comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU DUN Tioman serentak dengan Parlimen Padang Serai

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika sidang media Urusan Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Putrajaya. FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Proses pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang tidak diadakan hari ini, berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli awal pagi tadi.

Sehubungan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, mesyuarat khas hari ini menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di DUN berkenaan perlu diadakan semula.

“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.091 Rompin hari ini berhubung kematian Md Yunus.

“SPR telah membuat keputusan untuk menetapkan tarikh keluar writ pada 19 November (hari ini), hari penamaan calon diadakan pada 24 November, hari mengundi calon pada 3 Disember dan hari mengundi 7 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November (Khamis) sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa).

Ini sekaligus menyaksikan PRU-15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya, Rabu lalu.

Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin setelah tidak sedarkan diri.

Mengulas lanjut, Tan Sri Abdul Ghani memaklumkan, urusan permohonan undi pos bagi PRU-15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman dibuka daripada hari ini dan ditutup pada Selasa depan.

“Untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli / Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my, dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Rompin.

“Bagi permohonan undi pos Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C Agensi / Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian. Untuk pertanyaan atau penjelasan lebih lanjut boleh hubungi Unit Pengurusan Undi Pos di talian 03-8892 7040,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu enam orang Penolong Pegawai Pengurus.

SPR bakal menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya.

Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin turut akan digunakan sebagai pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).

“Seramai 429 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses ini. Manakala, sebanyak 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan 19 pusat mengundi dengan 54 tempat mengundi atau saluran. PRU-15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Tan Sri Abdul Ghani menjelaskan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU-15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.

Ia mengandungi seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 orang polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

DPPR dijadualkan mula dijual pada Rabu ini (23 November).

“Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88927218 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 23 November 2022,” katanya.

Loading...
Terkini