comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRU Padang Serai: Sah, BN beri laluan pada PH

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Desas desus Barisan Nasional (BN) memberikan laluan kepada Pakatan Harapan (PH) terjawab apabila perkara itu disahkan dalam ceramah khas di Padang Meiha, di sini hari ini.

Pengumuman bahawa Calon BN, Datuk Sivaraj Chandran memberikan laluan kepada Calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak dibuat oleh Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kurang 10 jam sebelum pengundian awal bermula.

Kompromi dalam memberikan laluan kepada parti lawan ini katanya, dilihat sebahagian dari usaha pengukuhan Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

” Kita amat mengharapkan pokok yang baru kita semai dan parlimen yang paling akhir selepas 221 yang lain kita dah tahu keputusannya akan membawa kita kemenangan.”

“Kita harapkan pada hari pilihanraya yang mendatang minggu depan, InsyAllah PH yang bergabung BN akan mencapai kejayaan. Kerajaan perpaduan akan dimartabatkan, juga kerajaan YDP Agong didaulatkan,” katanya.

Ceramah Pengumuman Khas Pilihanraya P017 Padang Serai buat julung kalinya menampilkan kepimpinan BN dan PH negeri Kedah.

PH pusat diwakili Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Sabu.

Kompromi melibatkan kerusi Parlimen Padang Serai bertiup kencang apabila PH memberikan laluan kepada calon BN di Kerusi Dewan Undangan Negeri Tioman, di Pahang sebelum ini.

Calon BN sebelum ini menyifatkan beliau wajar diberikan laluan untuk terus bertanding di situ, kerana telah melakukan kerja lapangan selama lebih 3 tahun.

Namun, beliau akan akur kepada keputusan dibuat pucuk pimpinan BN.

Untuk rekod, selain Dr Sofee dan Datuk Sivaraj, calon lain yang bertanding di kerusi parlimen itu ialah Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) and Sreanandha Rao (Bebas).

Pengundian bagi PRU Padang Serai akan diadakan pada 7 Disember (Rabu) ini.

Loading...
Terkini