comscore
Tumpuan :
Nasional

Puad perlu lebih matang, jangan gopoh keluarkan kenyataan – Ramanan

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi disarankan supaya lebih peka dengan perkembangan ekonomi negara apabila mempersoalkan langkah signifikan di ambil kerajaan mengatasi masalah ekonomi rakyat.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk R. Ramanan berkata hakikatnya pergerakan sektor ekonomi kini mula merancak.

Malah katanya kemasukan pelaburan yang jelas bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.

“Saya juga ingin mempersoal tahap pemikiran (Datuk Dr. Mohd) Puad bila beliau bertanya mengenai ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Adakah beliau maksudkan BR1M merupakan dasar terbaik yang pernah ada?

Jika ini tahap pemikiran (Datuk Dr. Mohd) Puad, saya ingin nyatakan BR1M bukanlah dasar terbaik kerana ia tidak dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Dr. Mohd Puad yang tidak nampak langkah signifikan untuk ekonomi negara daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Datuk Dr. Mohd Puad juga mempersoal ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding BR1M.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata banyak inisiatif diperkenalkan Kementerian Ekonomi seperti pelaksanaan Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Katanya, inisiatif itu bersifat serampang dua mata dengan membantu meningkatkan pendapatan usahawan makanan selain rakyat dapat membeli makanan dengan murah sehingga RM2.

Tambahnya, beberapa peniaga mesin layan diri di bawah IPR menerima pendapatan bulanan melebihi RM2,000.

Beliau menjelaskan program INSAN juga akan diperluas dan begitu juga inisiatif lain di bawah IPR termasuk Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

Ini apabila Rafizi mengumumkan tanah seluas 323 hektar milik kerajaan persekutuan dikenal pasti untuk projek tanaman fertigasi bagi membantu golongan miskin tegar dan kumpulan B40.

“Daripada kerajaan terus menerus ‘suap’ rakyat seperti apa yang dikatakan (Datuk Dr.) Mohd Puad sebagai ‘dasar terbaik’, adalah lebih baik kerajaan bantu meningkatkan ekonomi rakyat untuk jangka masa panjang.

Saya faham beliau mengharapkan sesuatu yang besar namun saya yakin beliau sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan kerana tidak ada inisiatif yang menjadi ‘wow factor’ dalam Kementerian Ekonomi melainkan perkembangan positif ekonomi secara berperingkat dan memerlukan masa,” katanya.

Tambahnya, sebagai salah seorang pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Mohd Puad seharusnya membantu menerangkan kepada rakyat bukannya mencari populariti dengan cuba menimbulkan keraguan serta menyampaikan perkara yang tidak benar.

Tamat – oleh Rohaniza Idris, Berita Harian.

Loading...
Terkini