comscore
Tumpuan :
Nasional

Puasa sunat Arafah bagi umat Islam di Malaysia, jatuh pada Ahad

Arab Saudi menetapkan jemaah haji yang mengerjakan haji akan berhimpun di Padang Arafah pada 15 Jun ini. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Mengikut kaedah rukyah dan hisab yang diputuskan Jabatan Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), puasa sunat Arafah bagi umat Islam di Malaysia jatuh pada Ahad, 16 Jun bersamaan 9 Zulhijjah 1445 Hijrah.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim berkata, penentuan tarikh 9 Zulhijjah berbeza mengikut matla’ (permulaan terbit anak bulan) di negara masing-masing.

“Bagi Malaysia, kita menetapkan (9 Zulhijjah) berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Ini bermakna puasa sunat Arafah pada Ahad ini.

“Aidiladha yang diputuskan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 Jun 2024 (Isnin).

“Umat Islam yang tidak mengerjakan haji digalakkan berpuasa pada Hari Arafah kerana banyak kelebihannya,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kekeliruan umat Islam sama ada puasa hari Arafah bagi rakyat di negara ini jatuh pada 15 Jun, Sabtu mengikut ketetapan Arab Saudi atau sebaliknya mengikut ketetapan falak di tanah air.

Asmadi juga berkata, umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat dan doa pada 9 Zulhijjah yang juga bersamaan dengan Hari Wukuf di Arafah, Makkah.

“Kita memang sentiasa digalakkan berdoa pada bila-bila masa. Namun, berdoa pada waktu makbul doa adalah satu kelebihan.

“Justeru, umat Islam di negara ini (jangan keliru), kita berdoa waktu mustajab hari Arafah berdasarkan (ketetapan) di Malaysia,” katanya.

Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia adalah hari mustajab doa, menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas, selain hari keampunan serta pelepasan dari api neraka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini