comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pukul pemandu OKU: TMJ gesa pihak berkuasa jalankan siasatan menyeluruh 


 

PETALING JAYA:  Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) di hadapan sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.

Dalam kenyataan terbaharu di laman Facebooknya, Tunku Mahkota Ismail bertitah, agar tindakan mengikut undang-undang diambil pihak berkuasa dan memberi keadilan kepada mangsa.

“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah Baginda.

“Justeru, saya menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah Baginda lagi.

Terdahulu, media melaporkan pemandu e-hailing OKU terbabit membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.

Mangsa berusia 46 tahun mendakwa ditumbuk di kepala selepas diminta mengalihkan kenderaannya. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini