comscore
Tumpuan :
Nasional

Pulau Pinang bukan milik Kedah sejak penjajahan British – Ramkarpal

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pulau Pinang diiktiraf sebagai antara satu Negeri Selat di bawah gabungan yang dikenali sebagai ‘Straits Settlements’ sejak zaman penjajahan British.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, susulan itu, beberapa perjanjian yang ditandatangani di antara Kedah dan pihak British telahpun dengan jelasnya mengiktiraf Pulau Pinang dan Province Wellesley (mainland Penang) sebagai sebuah negeri berdaulat.

“Perjanjian-perjanjian tersebut termasuklah Agreement between His Britannic Majesty’s Government and the State of Kedah, 1923; The Federation of Malaya Agreement 1948 dan The Federation of Malaya Agreement 1957.

“Berdasarkan The Federation of Malaya Agreement 1957, Persekutuan Malaya telahpun dibentuk dalam tahun sama di mana adalah jelas bahawa Pulau Pinang telahpun dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Malaya sebagai sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang kononnya milik Kedah.

Ramkarpal berkata, pembentukan Persekutuan Malaya tersebut adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pada 1957 dan tidak boleh dinafikan bahawa Pulau Pinang telahpun diiktiraf sebagai antara satu negeri di bawah Persekutuan Malaya, iaitu di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga menjamin bahawa setiap negeri mempunyai Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri, termasuk Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, terdapat juga peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan perlu diberikan perhatian.

Katanya, sejak pembentukan Persekutuan Malaya dan kemudian Persekutuan Malaysia, tiada sebarang bantahan yang pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah bahawa Pulau Pinang dimiliki negeri tersebut.

“Justeru, adalah amat jelas bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan bahawa keabsahannya tidak boleh dipertikaikan. Dalam hal ini, kenyataan Menteri Besar Kedah adalah tidak berasas sama sekali.

“Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang yang tertinggi negara dan seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Loading...
Terkini