comscore
Tumpuan :
Nasional

Pulau Pinang Tarik Balik Darjah Kebesaran Najib

Foto: BERITA HARIAN

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang membatalkan dan memansuhkan keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohd Zakuan Zakaria, berkata Najib dianugerahkan DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada beliau, keahlian beliau sebagai penyandang DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zakuan memaklumkan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Menurut Mohd Zakuan, pembatalan dan pemansuhan keahlian itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini