comscore
Tumpuan :
Nasional

Pulih ekonomi, kemiskinan dan sara hidup tumpuan pengundi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Memulihkan ekonomi, membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup adalah keutamaan yang perlu diberikan oleh parti yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Hasrat itu adalah hasil kajian ‘Memahami Selera Rakyat: Tinjauan Awal PRU-15’ terhadap 1,622 responden berusia 18 hingga 60 tahun di enam zon seluruh negara, yang dijalankan Ilham Centre selama dua bulan bermula 1 Ogos lalu.

Sebanyak 44 peratus responden mahu kerajaan memberi perhatian terhadap usaha pemulihan ekonomi dan kemiskinan, manakala 35 peratus mahu usaha dilakukan bagi menangani isu kos sara hidup.

Selain itu, lapan peratus responden mahu keutamaan diberikan terhadap membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah, memastikan janji manifesto ditunaikan (tujuh peratus), merapatkan jurang antara kaum (tiga peratus) serta mereformasi institusi dan tadbir urus kerajaan (satu peratus).

“Pengundi memberi fokus utama kepada isu ekonomi, kos sara hidup, membasmi kemiskinan dan seumpamanya berbanding isu lain. Tawaran manifesto dalam aspek ini oleh parti politik akan diberi perhatian oleh rakyat.

“Rakyat melihat kerajaan seperti tidak mempunyai solusi tuntas dan penyelesaian terbaik terhadap lambakan isu rakyat ketika ini, khususnya masalah kenaikan harga barang, kos sara hidup dan ekonomi rakyat,” demikian menurut rumusan kajian itu.

Sementara itu, kajian itu juga mendapati, hanya pengundi dalam kumpulan usia 50 tahun dan ke atas yang melihat faktor parti sebagai keutamaan mereka untuk mengundi.
Sebanyak 38 peratus responden melihat kepada faktor calon, 32 peratus melihat kepada parti dan 30 peratus melihat kepada isu.

Mengenai isu yang menjadi pertimbangan utama pengundi dalam membuat keputusan, 61 peratus responden melihat kepada isu tempatan, manakala selebihnya adalah isu nasional.

“Pengundi lebih melihat faktor isu tempatan berbanding isu nasional dalam membuat keputusan di kotak undi nanti, terutama kelompok pengundi Borneo, lokaliti kampung dan tanah rancangan,” kata kajian itu.

Sementara itu, lebih separuh responden menyatakan, mereka mendapatkan sumber mengenai isu semasa daripada internet seperti Facebook, Whatsapp dan media sosial lain.

Bagaimanapun, faktor konvensional seperti rakan, televisyen dan ahli keluarga tetap mempunyai nilai tersendiri.

Lebih 28 peratus mendapatkan sumber mengenai isu semasa daripada portal berita internet, 26.8 peratus daripada televisyen, 24.5 peratus daripada Facebook dan 4.3 peratus daripada akhbar harian.

Selebihnya, 4.3 peratus melalui Twitter, Whatsapp (3.8 peratus), ahli keluarga (3.5 peratus), rakan (3.1 peratus) dan Instagram (1.8 peratus). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini