comscore
Tumpuan :
Nasional

Punca Kebakaran di Kampung Pandan akan diketahui dalam masa dua minggu

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Punca kebakaran di Kampung Pandan Indian Settlement malam tadi akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mustapa Kamal Mohd Arih berkata, ia berikutan pihaknya mengalami sedikit masalah berkaitan pencahayaan ketika operasi memadam malam tadi.

“Buat masa ini bomba belum dapat punca kebakaran lagi dan siasatan saya dimaklumkan pagi ini baru turun untuk buat siasatan punca kebakaran atas sebab malam tadi, kita ada kekurangan dalam pencahayaan sebab kawasan ni rumah setinggan kan, kita mungkin dapat makluman dalam masa seminggu dua ni lah.” katanya kepada Buletin TV3.

Dianggarkan 15 unit rumah berkeluasan 300 kaki persegi musnah dalam kebakaran itu.

Terdahulu pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.51 malam.

48 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah, Keramat, Sentul, Bandar Tun Razak dan Cheras dikerahkan ke lokasi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.

Sementara itu, tinjauan Buletin TV3 di lokasi mendapati, beberapa individu dipercayai pemilik rumah dan waris terdekat sedang membersihkan sisa kebakaran.

Adik kepada seorang mangsa, M.Tinagaran berkata, kedatangannya pagi ini adalah untuk membantu abangnya mencari  barangan peribadi yang mungkin boleh diselamatkan.

Semua mangsa ditempatkan di Dewan Gelanggang Rakyat Taman Maluri untuk sementara waktu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini