KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh vegan dari Russia meninggal dunia pada 21 Julai lalu dipercayai akibat ‘kebuluran’ kerana mengamalkan diet ekstrem dengan hanya memakan buah-buahan dan jus.
Dan meskipun dia akhirnya berusaha untuk mendapatkan rawatan ketika kunjungannya ke Asia Tenggara, Zhanna Samsonova, 39, tidak dapat diselamatkan.
Ciapan daripada akaun Instagramnya menunjukkan Samsonova atau lebih dikenali sebagai Zhanna D’Art ketika di dalam talian; mengamalkan pengambilan hanya buah-buahan mentah selama sekurang-kurangnya sedekad.
Menurut ciapan rakannya, beberapa bulan lalu di Sri Lanka, Samsonova sudah kelihatan letih dengan bahagian kakinya bengkak.
Bagaimanapun seperti yang kerap dilakukan sebelum ini, Samsonova melarikan diri sekali lagi apabila mereka menghantarnya pulang untuk rawatan.
Tambah rakannya itu, apabila dia terjumpa Zhanna di Phuket kemudiannya, keadaan Samsonova sungguh menakutkan.
Dan meskipun dia terus berusaha memujuk Samsonova untuk mendapatkan rawatan, pempengaruh itu tidak sempat melakukannya.
Sementara itu, ibu Samsonova dipetik sebagai berkata bahawa anak perempuannya itu meninggal dunia akibat jangkitan menyerupai kolera.
Malah, ibunya juga percaya Samsonova mati akibat keletihan serta tekanan yang diberikan kepada badannya sendiri selepas hanya memakan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Menurut seorang lagi rakannya, Samsonova cuma makan durian dan nangka sepanjang tujuh tahun lalu.
Dakwaan lain pula menyatakan dia hanya mengamalkan diet makanan mentah selama empat tahun lalu, termasuk hanya memakan buah-buahan, pucuk biji bunga matahari dan jus.
Catatan terakhir Samsonova di Instagram pada 10 Jun lalu menunjukkan dia memakan raja buah durian, dengan pengikutnya berhujah diet itu mungkin penyebab kematiannya.
Seorang pengguna media sosial, @lidderlid mendakwa berdasarkan laporan koroner, Samsonova meninggal dunia akibat penyakit kolera yang diburukkan lagi oleh kekurangan zat makanan dan kebuluran.
“Tubuhnya tidak dapat melawan sebarang jangkitan biarpun dengan sokongan perubatan kerana dia mengalami anoreksia yang teruk,” katanya.
“Dia mungkin mengalami gangguan makanan tetapi veganisme mentah membunuhnya. Berhenti menafikan bahayanya veganisme,” kata seorang lagi pengguna media sosial, @vinzentprice.
Menjawab komennya, seorang pengguna media sosial, @j_leew berkata: “Ia bukan veganisme. Dia makan buah mentah saja. Sangat berbeza daripada diet vegan.”