comscore
Tumpuan :
Nasional

Punca kuasa MCBA di bawah keputusan kabinet – Saifuddin

Oleh: Fahmi Tajuddin

HULU SELANGOR: Punca kuasa Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) adalah di bawah ketetapan kabinet.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah membentangkan cadangan penubuhan MCBA pada April lalu kepada Jemaah Menteri.

Katanya pembentangan itu adalah perlu seiring dengan penubuhan undang-undang tubuh bagi agensi baharu berkenaan.

“Pada tarikh yang lebih tepat, saya bentang pada April 2024, itu maksud usulnya mestilah saya bentangkan undang-undang tubuh. Sebab dia akan menjadi satu agensi baharu.

“Jadi rancangannya adalah, kalau semua proses pembikinan rang undang-undang itu selesai termasuk disemak oleh agensi, maka saya cadangkan untuk bentangkannya semula pada sesi Julai akan datang. Itu dari segi mewujudkan undang-undang tubuh,” katanya.

Sementara itu beliau berkata penubuhan MCBA itu merangkumi kawalan sempadan dalam memudahkan pelancong dan mempertingkat penyampaian pengurusan serta menghapuskan pertindihan agensi di kawalan sempadan negara.

“Jadi MCBA ini akan jadi agensi baharu yang besar dan penting peranannya.

“Tapi bila kita menguruskan sempadan kita berurusan dengan satu, tapi sekarang kita berurusan dengan 20 atau 25 (agensi) jadi dari sudut governance ianya akan menjadi lebih mudah,” tambahnya.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MCBA melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta, walaupun undang-undang berkaitan agensi berkenaan hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Anwar berkata, semua agensi di bawah MCBA boleh mula menempatkan pegawai dan anggota masing-masing bagi menyelaras dan memastikan pelaksanaan serta kelulusan kemasukan disegerakan, selain kawalan keselamatan dijaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini