comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Purata seorang maut setiap 80 minit, akibat kemalangan pada 2023

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan purata 18 kematian sehari akibat kemalangan pada tahun lalu, yang mana 12 daripadanya membabitkan motosikal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan statistik terkini berkaitan kemalangan membabitkan kematian, beliau berkata pada 2023, jumlah kematian dicatatkan adalah 6,443 orang, sekali gus merekodkan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun.

FOTO: NSTP

“Iaitu purata 18 kematian akibat jalan raya setiap hari, bersamaan setiap 80 minit ada seorang yang meninggal dunia. Daripada jumlah itu, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal iaitu 4,480 kematian disebabkan kemalangan motosikal,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Untuk motosikal, purata kematian adalah daripada 18 kematian sehari, 12 kematian itu adalah membabitkan motosikal. Bermaksud hampir setiap dua jam ada kemalangan maut membabitkan motosikal,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kementerian akan menyiarkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari, sebagai langkah baharu bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai.

Katanya, tindakan akan dilaksana dalam masa terdekat, dengan pelaporan yang akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, adalah sama seperti pelaporan kes harian jangkitan COVID-19 sebelum ini.

“Akan dilaksana dalam masa terdekat. Hari ini sudah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya. Setiap hari maklumat kemalangan jalan raya akan dikeluarkan secara ‘real time’ yang mengambil data pada hari sebelumnya.
“JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) akan menyelaras dengan PDRM untuk menentukan kaedah pelaporan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, menerusi langkah itu, orang ramai akan melihat sendiri data kes kematian akibat kemalangan secara harian, yang ketika ini menjadi penyumbang utama kadar kematian di negara ini.

“Apa yang kerajaan mahu laksana adalah meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa kemalangan jalan raya adalah punca utama kematian. Ia mesti diambil serius oleh semua pihak kerana ia kadang-kadang membabitkan kecuaian oleh pemandu sendiri.

“Kita akan menjadikan dasar ini supaya media massa juga dapat memaparkan liputan terhadap angka-angka ini. Pihak kerajaan harapkan kerjasama dengan media untuk sampaikan angka-angka (kes harian kematian akibat kemalangan) ini kepada orang ramai,” katanya.

Berbeza sebelum ini, Anthony berkata, pelaporan kes kematian akibat kemalangan adalah berdasarkan data-data yang dikumpul dalam tempoh setahun.

Pada sidang media sama, Anthony berkata, kementeriannya dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bersetuju memperluas kaedah bayaran untuk menaiki bas Rapid menerusi sistem pembayaran terbuka, berbanding hanya menggunakan Touch n Go ketika ini.

“Kita sudah panggil tender dan kita harap ia dapat bermula secepat mungkin supaya memudahkan orang ramai termasuk pelancong yang mahu menggunakan perkhidmatan bas awam,” katanya memaklumkan langkah diambil selepas viral satu video pelancong Jerman mengadu tidak dapat menaiki bas disebabkan ketiadaan kad TnG.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa Kabinet juga bersetuju supaya laluan kontra dibuka selepas Plaza Tol Sungai Besi, di sini sehingga menuju ke laluan masuk ke terowong Smart, sebagai langkah mengurangkan kesesakan di laluan memasuki ibu negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini