comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya musnah dibedil tentera Zionis

Sumber : Facebook MyCARE Terengganu

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya yang terletak di selatan Gaza, Palestin antara yang menjadi sasaran dibedil rejim Zionis.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui hiba dengan nasib menimpa Pusat Fisioterapi di Khan Younis itu yang musnah dalam serangan 7 November lalu.

Menurut beliau, terdapat lima keluarga yang mencari perlindungan di pusat itu selepas rumah mereka dibom, namun mereka kehilangan empat ahli keluarga dalam serangan tentera Israel.

“Saya telah berkabung atas pengeboman dan kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza sebelum ini.

“Tetapi saya mempunyai pertalian peribadi untuk hospital ini, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), yang saya terlibat secara langsung dalam pembinaannya sejak awal lagi.

“PGPF, bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan ia telah beroperasi sejak 2019,” katanya dalam satu hantaran semalam.

Beliau turut mengutuk tindakan rejim Zionis yang mengebom pusat fisioterapi berkenaan biarpun kawasan selatan Gaza tidak memberi sebarang ancaman kepada tentera Israel.

“Serangan kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin.

“Ia bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan Gaza daripada penduduk Palestin.

Tegas Tun Dr Mahathir, pengeboman hospital dan kediaman yang kini menjadi pusat fisioterapi, membuktikan Israel menyasarkan pusat ini dengan sengaja.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah membantah dan berdoa agar rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel dan sekutu Israel, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) terus membenarkan dan menyokong kebiadapan Israel.

Loading...
Terkini