comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusat pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara

Anggota bomba dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membersihkan lokasi runtuhan tanah di Bukit Malawati, Pekan Lama Kuala Selangor, hari ini. – Foto ihsan BOMBA

KUALA SELANGOR: Kejadian runtuhan tanah di pusat pelancongan Bukit Malawati, di sini, pagi tadi, dipercayai berpunca daripada pokok berusia 50 tahun yang tumbang akibat hujan lebat disusuli angin kencang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli, berkata terdahulu beliau menerima maklumat kejadian berlaku sekitar kira-kira jam 7 pagi yang disaksikan seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang mahu melakukan tugasan pemantauan.

“Kejadian itu menyebabkan hakisan dan pergerakan tanah. Berkemungkinan juga akibat musim hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan keadaan tanah tidak stabil.

“Selain itu, faktor pokok yang sudah uzur dan perlu ditebang lebih awal bagi mengelak kejadian seperti ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Juwairiya berkata, anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) giat menjalankan pembersihan.

Berikutan kejadian itu, katanya, pusat pelancongan Bukit Malawati ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan baik pulih demi keselamatan pengunjung.

“Terima kasih diucapkan kepada semua anggota yang terlibat. Semoga seluruh rakyat Kuala Selangor dilindungi Allah SWT,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini