Tumpuan :
Nasional

Pusingan kerja mampu tangani masalah integriti – Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas melakukan tinjauan di reruai dalam Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) di Putrajaya, hari ini.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pelaksanaan pusingan kerja penjawat awam yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan melebihi lima tahun mampu menangani masalah integriti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengalu-alukan apa yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang berhasrat untuk memperbaiki sistem penyampaian agar berprestasi lebih baik.

“Apa pun sistem yang diamalkan dalam perkhidmatan awam dia tentu ada tujuan akhirnya. Tujuan akhirnya tak boleh lari daripada mempercepatkan atau memperbaiki sistem penyampaian.

“Sistem itu mampu untuk menangani isu-isu integriti. Ianya juga mampu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan awam,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di reruai dalam Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).

Menurut Saifuddin, pihaknya yakin perkara itu juga selari dengan hasrat kementeriannya yang meletakkan kepentingan rakyat.

“Kami yakin di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN), kami akan terus menjalankan usaha yang berterusan bagi meningkatkan mutu sistem penyampaian agensi di bawah KDN yang saya sentiasa ingatkan harus meletakkan kepentingan rakyat.

“Dia harus berasaskan kepada ‘people centred’ dan kalau itu dapat kita lakukan, saya sangat yakin kita akan dapat merasai perubahan pada akhir kita melaksanakan sistem ini.” Jelasnya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Menurutnya, tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini