comscore
Tumpuan :
Nasional

PUSPAKOM Sedia Bekerjasama Dengan JPJ Bagi Semakan Semula Kaedah Pemeriksaan Kenderaan Berat

SHAH ALAM: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) akan memberi kerjasama penuh terhadap cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan kenderaan tersebut semasa berada di jalan raya.

Puspakom dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu yang melibatkan kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.

“Kaedah pemeriksaan yang sedia ada pada masa ini adalah dibuat sebagaimana telah ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995,” katanya.

Di bawah cadangan itu, Puspakom berkata kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh pihaknya apabila diputuskan oleh JPJ kelak dan tidak melibatkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada.

Menurutnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Puspakom telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 kenderaan berat dengan sebanyak 15.8 peratus atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh JPJ.

Syarikat pemeriksaan kenderaan itu berkata jumlah itu termasuk 4.6 peratus atau 12,339 kenderaan berat adalah gagal ujian kecekapan brek.

“Mana-mana kenderaan yang gagal, perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ,” katanya.

Puspakom berkata usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom hanyalah pada setiap enam bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan JPJ merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan ‘roadworthiness’ atau layak untuk dipandu di jalan raya bagi mengurangkan peningkatan risiko kemalangan terutama melibatkan kenderaan perdagangan.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata antara tindakan itu ialah memperketat prosedur operasi standard pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama Puspakom. -BERNAMA

Loading...
Terkini