comscore
Tumpuan :
Nasional

Puteri Sarah tuntut hak penjagaan anak

FOTO: puterisarahliyana / Instagram

KUALA LUMPUR: Isteri pertama Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana memfailkan hak penjagaan anak (hadanah) terhadap dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan  permohonan hadanah difailkan mengikut Seksyan 81 Akta (303)(1) tertakluk kepada Seksyen 82.

“Seksyen ini memperuntukkan ibu paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu dalam perkahwinan atau selepas perkahwinan dibubarkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan salinan dokumen permohonan itu belum diserahkan kepada defendan, Syamsul Yusof.

“Setakat ini, kami belum menyerahkannya kerana kami memfailkan permohonan hadanah, hari ini.“Jika ada peguam pihak defendan boleh diserahkan kepada peguam,” kata Puteri Ummi Kartini.

Hadanah bermaksud hak penjagaan kanak-kanak masih kecil dan belum berupaya menguruskan diri sendiri, sama ada lelaki atau perempuan dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Sementara itu, mengulas keputusan dibuat, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berkata dia membuat permohonan selepas difikirkan secara tiba-tiba.

“Semalam secara tiba-tiba, kita semua main ‘tiba-tiba’,” katanya ringkas.

Semalam, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, membuat tuntutan nusyuz ke atas Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Syamsul, 39, memberitahu, antara alasan tuntutan nusyuz difailkan terhadap Puteri Sarah kerana wanita itu masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah dengan alasan tidak dapat hidup sebagai suami isteri kerana tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Pelakon drama rantaian Andai Itu Takdirnya itu juga menyatakan tekanan dan gangguan daripada isteri kedua Syamsul, Ira Kazar turut mendorongnya untuk memfailkan perceraian terbabit.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar Saisi.

Sebelum ini, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Summayah.

Loading...
Terkini