
SEREMBAN: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengetuai senarai 555 penerima darjah kebesaran, bintang, dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.
Mohd Rafizi adalah penerima tunggal Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS), yang membawa gelaran Datuk Seri.
Lima individu menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor.
Turut menerima DPNS ialah Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Penerangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; serta Ketua Pegawai Eksekutif Summit Ascent Holding Limited, Datuk Chua Ming Huat.
Pemegang Amanah Yayasan Munarah, S Sheranjiv, menerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM), manakala 25 individu lain dianugerahkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS), yang turut membawa gelaran Datuk.
Antara penerima DBNS ialah Pengarah Syarikat Saaka Nilai Sdn Bhd, Abdul Malek Md Yoosof; Pengarah Peperangan Formasi Rejimen Semboyan Diraja, Brigedier Jeneral Dr Adnan Ajis; dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Mohd Yazid Ahmad.
Tuanku Muhriz turut mengurniakan pelbagai darjah dan pingat, termasuk Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 28 penerima, Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 25 penerima, serta Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) kepada 130 penerima.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.