comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Muda Selangor berangkat melawat Pusat Koreksional Puncak Alam

Tengku Amir Shah (dua dari kanan) diiringi Datuk Nordin Muhamad (lima dari kanan) menyaksikan persembahan banduan muda ketika melawat Pusat Koreksional Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini. – Foto: NSTP

KUALA SELANGOR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini meluangkan masa kira-kira dua jam, berangkat melawat Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini dan melawat kelas, perpustakaan serta menyaksikan persembahan teater muzikal oleh banduan muda di pusat itu.

Ketibaan baginda jam 2.40 petang disambut Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohamad Yaacob Ismail, disusuli taklimat mengenai Jabatan Penjara dan Pusat Koreksional Puncak Alam oleh Nordin dan Pengarahnya, Mohd Haniff Che Omar.

Tengku Amir kemudian melawat kelas pembelajaran dan Bilik Pengajian Tinggi serta perpustakaan sebelum menyaksikan persembahan teater muzikal bertajuk Bila Anak Laut Berdoa daripada pesalah juvana di pusat berkenaan dan kemudian berangkat pulang jam 5 petang.

Foto: NSTP

Sementara itu, Nordin berkata, ketika ini terdapat 60 penjara menempatkan seramai kira-kira 75,000 penghuni berbanding kapasiti 71,000 penghuni, bermakna bermakna terdapat lebihan kapasiti atau kesesakan sebanyak 5.6 peratus.

“Hampir 4,000 penghuni lagi menjalani pemulihan dalam komuniti menerusi Perintah Kehadiran Wajib, Parol dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL),” katanya.

Mengenai kejayaan Jabatan Penjara memulihkan pesalah, beliau memaklumkan, ia berada pada kadar 82.4 peratus.

“Setelah dibebaskan, mereka tidak mengulangi jenayah dalam tempoh tiga tahun selepas dibebaskan,” katanya.

Loading...
Terkini