comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakam bawah skirt, lelaki ditahan polis

Foto tular

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis selepas merakam video dari bawah skirt semasa satu acara di sebuah pasaraya di Bukit Jalil di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis menerima tiga laporan berhubung tindakan lelaki berusia 33 tahun itu yang membuat rakaman menggunakan telefon bimbitnya.

“Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, pengadu yang juga seorang wanita tempatan dimaklumkan oleh orang awam bahawa suspek membuat rakaman video tidak sopan menggunakan telefon bimbit dari bawah pentas.

“Seterusnya rakan pengadu bersama orang awam berjaya mengesan dan menahan suspek di dalam kawasan pasar raya itu lalu menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, bertindak atas laporan sepasukan anggota Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil ke lokasi dan menahan semula suspek pada jam 11.15 malam.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 22 Januari ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Loading...
Terkini