comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia Boleh Nikmati Rangkaian 5G Tidak Lama Lagi

Oleh Afrina Romzi

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Projek 5G negara kini boleh berjalan dengan lancar apabila isu pemilikan saham dengan pemborong tunggal Digital Nasional Bhd (DNB) dilihat selesai.

Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dijangka mula menawarkan pakej 5G seawal bulan ini.

Menurut DNB, 30 peratus kawasan berpenduduk di negara ini sudahpun mendapat liputan internet pantas.

Isu pemilikan saham berakhir baru-baru ini dengan Celcom Axiata Bhd, Digi.Com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd bersetuju mengambil pegangan sama rata dalam DNB.

Bagaimanapun, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menarik diri disaat akhir walaupun menyatakan hasrat untuk menjadi pemegang saham DNB pada awalnya.

Kenanga Research berkata, jelas sekali kedua-dua syarikat tidak melihat faedah jangka panjang terhadap pemilikan ekuiti dan mahu bersaing dalam menawarkan pakej 5G yang kompetitif kepada pelanggan.

“Sebab utama pegangan ekuiti dalam DNB adalah kerana syarikat telekomunikasi mempunyai pendapat dalam pembangunan pelancaran 5G dari segi kos dan harga. Jelas sekali kedua-dua Maxis dan U Mobile tidak melihat faedah selanjutnya kepada mereka dan lebih menumpukan pada perjanjian akses kerana kedua-duanya masih komited kepada pelancaran 5G.

Kerajaan dan syarikat telekomunikasi masih komited terhadap pelancaran 5G dengan harga terbaik yang tersedia supaya jadi kami  tidak melihat sebarang kesan atau perubahan yang ketara kepada pengguna setakat ini,” kata Kenanga Research dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada Buletin TV3.

Bagaimanapun, Penganalisis Ekonomi, Putra Business School Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tanpa pemilikan ekuiti dalam DNB, syarikat telekomunikasi (telco) mungkin tidak mampu merealisasikan potensi perniagaan secara maksimum.

“Faktor utama yang masih perlu dibincangkan adalah persetujuan harga dan tahap perkhidmatan. Ini melibatkan syarikat telekomunikasi, DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Jika mereka bukan pemegang saham DNB, kuasa rundingan mereka akan lebih terhad,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sementara itu, bagi pengguna, mereka tidak perlu khuatir mengenai kualiti dan harga pakej rangkaian 5G yang ditawarkan pihak telco.

Ketua Telekomunikasi ASEAN, International Data Corporation (IDC), Khairil Anwar Rahmat berkata, secara amnya majoriti operator masih belum jelas dengan harga perjanjian akses mereka.

“Tetapi berkenaan impak terhadap pengguna, IDC berpendapat pengguna tidak akan membayar harga yang tinggi untuk rangkaian 5G memandangkan model rangkaian borong tunggal ini bertujuan untuk mengurangkan kos untuk membina infrastruktur rangkaian,” katanya menerusi video kepada Buletin TV3.

Tambah beliau, tidak ada perbezaan juga dari sudut kualiti jaringan antara syarikat telco kerana mereka semua bergantung kepada penegendali jaringan yang sama, iaitu DNB. 

Penggunaan 5G dijangka akan lebih meluas apabila DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

Ini akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Loading...
Terkini