comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia di fasa hidup bersama virus COVID-19 – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh (dua dari kiri) pada program gotong royong mega perangi Aedes 1.0 peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Rakyat kini berada di fasa hidup bersama virus COVID-19 dan dalam peralihan ke arah meneruskan kehidupan seperti biasa, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pasca-Kabinet peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat pasca-Kabinet KKM, kita buat keputusan bahawa kita akan sekarang ini hidup bersama virus, kita ambil sikap untuk memulakan fasa ini sama seperti virus lain seperti influenza dan chikugunya.

“Maknanya kita kini kembali kepada normal, kalau ada berlaku apa-apa KKM sentiasa memantau. Dalam persiapan untuk masa hadapan kita sentiasa bersedia to kembali bertindak, buat masa ini kita kembali kepada normal… komunikasi akan dibuat dari semasa ke semasa andai berlaku kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata rakyat perlu sentiasa peka terhadap perkembangan terkini COVID-19 dengan melayari data.moh.gov.my, bagi membolehkan mereka memantau status penularan wabak berkenaan dalam negara.

“Apa yang nak saya sebutkan kita kembali kepada normal, kalau bergejala pergi jumpa doktor untuk konsultasi dan rawatan, kalau di kawasan khalayak ramai sentiasa menjaga yang lain dengan memakai pelitup muka anda,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini