comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Iran

KUCHING: Rakyat Malaysia perlu menangguhkan perjalanan ke Iran serta negara berdekatan susulan ketegangan semakin memuncak di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Wisma Putra kini sedang memantau perkembangan terkini apabila Iran melancarkan serangan terhadap Israel.

Beliau berkata, ia bagi memutuskan langkah perlu untuk memastikan keselamatan rakyat kita di rantau terbabit.

“Rakyat Malaysia juga harus peka dengan situasi di rantau itu dan elakkan dahulu (perjalanan) ke tempat berisiko tinggi khususnya Iran serta negara berdekatan yang ada hubung kait.

“Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat kita di mana sahaja mereka berada sama ada di Iran atau negara berdekatan,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazruddin Abdul Rahman, di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas langkah perlu untuk menjamin keselamatan rakyat Malaysia berikutan ketegangan di Asia Barat ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan di rantau itu dan jika keadaan memaksa, tindakan membawa keluar rakyat Malaysia akan dilaksanakan.

“Kalau perlu kita akan membawa rakyat kita keluar daripada mana-mana tempat yang boleh berlaku risiko perang,” katanya.

Mengenai rakyat Malaysia yang akan menunaikan umrah dan fardu haji, beliau berkata mereka harus mengikuti nasihat daripada Wisma Putra sama ada boleh pergi atau sebaliknya.

Selain itu katanya, bakal jemaah umrah dan haji perlu mengikuti perkembangan semasa di Asia Barat.

Mengenai langkah Malaysia Airlines (MAS) mengubah laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan London untuk mengelak ruang udara Iran berikutan ketegangan yang semakin memuncak, Fadillah berkata, ia langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan pesawat serta penumpang.

“Apabila berlaku peperangan di peringkat antarabangsa, biasanya syarikat penerbangan akan mematuhi arahan penerbangan antarabangsa untuk mengubah laluan dan situasi serupa pernah berlaku ketika perang Russia dan Ukraine.

“Dalam hal ini, sudah pasti di Malaysia kita akan ikut, bukan sahaja MAS malah syarikat penerbangan lain juga,” katanya.

Hari ini agensi berita Reuters melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel lewat Sabtu.

Serangan itu mungkin mencetuskan pertempuran besar antara musuh ketat serantau, dengan Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk menyokong Israel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini